Bagi mereka yang baru di Putrajaya, aku percaya akan melalui pengalaman berpusing-pusing di bulatan besar yang melingkari Presint 1/Taman Putra Perdana ini sewaktu mencari jalan untuk menuju ke sesuatu destinasi di situ. Bulatan ni nama sebenar dia ialah Persiaran Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah. Aku yang mula menghuni Putrajaya sejak penghujung tahun 1999 tidak terlepas daripada melalui pengalaman ini.
Sewaktu tinggal di situ, kerap kali aku menerima panggilan telefon bertanyakan arah apabila mereka merasakan telah melalui mercu-mercu tanda yang sama berulang kali. Sebenarnya kebanyakan daripada mereka tidak sedar bahawa mereka sedang melalui suatu bulatan (round about) yang besar. Selagi mereka tidak membelok ke kiri, maka mereka akan berpusing, berpusing dan berpusing di tempat yang sama. Jika ini terjadi sudah pasti mereka akan melihat sesuatu bangunan yang sama berulang kali. Kalau kita pernah melihat seseorang yang menyanyi dengan live band atau iringan gitar Kapok, kalau penyanyi baru biasanya sudah pasti akan melalui pengalaman tak tahu bila nak masuk (memulakan nyanyian). Pemain gitar atau ahli band biasanya akan cakap "Ha masuk! masuk!" tapi si penyanyi tetap keliru tak tahu bila nak masuk. Begitulah juga halnya dengan mereka yang baru di Putrajaya, mereka biasanya tak tahu di simpang mana yang patut mereka keluar. Kalau orang yang dah biasa dengan Putrajaya akan selalu berkata "Ha, keluar! keluar!" menyuruh orang yang sedang dipandu arah membelok ke kiri untuk keluar dari bulatan tersebut.
Pada aku sekarang, bulatan tu mungkin dah tak jadi masalah sebab dah biasa dengan simpang-simpang keluar ke sesuatu destinasi. Jadi boleh dikatakan bulatan itu sudah tidak lagi memangsakan aku. Namun begitu, dari masa ke semasa akan ada pendatang baru ke Putrajaya ini. Aku yakin sedikit sebanyak mereka akan menjadi mangsa bulatan perdana ini. Jika ini terjadi, apa kesannya? Masa, minyak, bil telefon, kesabaran, makian (kalau ada) dsb akan terbazir begitu saja.
Kalau kita perhatikan betul-betul, cuma ada 4 simpang utama sahaja yang keluar dari bulatan itu dan 2 jalan naik ke puncak Presint 1/Taman Putra Perdana. Empat simpang utama tu ialah Persiaran Persekutuan, Lebuh Perdana Timur, Lebuh Perdana Selatan dan Lebuh Perdana Barat. Jalan naik ke puncak ialah Jalan Putra Perdana yang naik dari sebelah sini merentasi puncak lalu turun ke sebelah sana dan sebaliknya. Di samping itu terdapat susur keluar lain untuk ke kompleks pejabat kerajaan seperti Parcel E, Parcel D, Parcel C, Parcel B (Jabatan Perdana Menteri), Alamanda dan Taman Botani.
Hmm.... jadi macam mana nak mengatasi masalah ini daripada berterusan?
No comments:
Post a Comment